PROJEK SENI MURAL
Idea & Konsep: Fadly Sabran
Pembantu Teknikal : Fendi Kamzai
Dimensi: 15 x 40 kaki
Dinding: Kapallorek Art Space
Tarikh: 25 – 30 Januari 2021
Pelukis:
Wan Huzaifah
Faez Fahmi
Azim Rodi
Faiz Aimanulhakim
Asyraf
Mitos dan cerita dongeng rakyat merupakan satu sumber inspirasi kepada Kapallorek Art Space yang berperanan untuk menghubungkan kembali kisah sejarah, tradisi dan budaya masyarakat setempat melalui penghasilan karya seni halus, seni media baharu dan seni kontemporari yang berkembang mengikut arus sezaman. Bota merupakan makhluk gergasi yang menjadi mitos terkenal di daerah Perak Tengah pada abad ke-18. Gergasi Bota dipercayai serupa dengan manusia tetapi tubuh badannya jauh lebih besar dan lebih tinggi. Gergasi Bota ini dikatakan mempunyai gigi taring dan bersembunyi di dalam tanah, Bota akan keluar dari tempat persembunyiannya pada waktu petang sebelum senja untuk mencari makanan dan amat menggemari kanak-kanak yang tidak memakai seluar. Kanak-kanak tersebut akan diculik dan di simpan di bawah tanah untuk menjadi santapan perutnya yang lapar. Imej televisyen di kepala gergasi Bota pula simbolik kepada media yang sangat berpengaruh ( budaya popular) kepada penceritaan dan penyampaian sesuatu maklumat. Kisah Bota ini telah diperturunkan ceritanya kepada beberapa generasi keturunan untuk tujuan yang sama (menggertak atau menakutkan kanak-kanak) sehinggalah namanya menjadi semakin terkenal dan diangkat sebagai nama tempat yang unik iaitu Bota Kiri dan Bota Kanan yang dipisahkan oleh aliran sungai Perak.