KEMBARA ZAINON ABDULLAH

Kapallorek Artspace | July 2, 2022 | ART EXHIBITION

Click image to preview

Pameran KEMBARA oleh ZAINON ABDULLAH

2 Julai hingga 15 Ogos 2022
Kapallorek Artspace, Seri Iskandar Perak

KEMBARA oleh ZAINON ABDULLAH merupakan sebuah pameran mengisahkan perjalanan karya-karya seni beliau selama 29 tahun dari 1993 hingga 2022. Terdapat lima fasa penting pengkaryaan iaitu siri Duri dan Bunga, siri Dailoq Dalaman, siri Hijrah, siri Puisi Alam dan siri Tari Rimba. 45 buah karya termasuk lakaran, lukisan dan catan dengan bertemakan kesusahan dan kesukaran perjalanan seorang pelukis, cabaran hidup, kisah sosio politik, ketidakadilan sosial, fasa peralihan dan perpindahan, inspirasi puisi serta keinginan untuk berkarya bagi meneruskan kehidupan menjadi catatan visual karyanya.

___________________________________________________________________________________

Kembara Zainon Abdullah (1993-2022)

Alif Haiqal Musa – Penulis Tamu

Pengenalan

Pameran Solo ke-8 oleh Zainon Abdullah yang bertajuk ‘Kembara Zainon Abdullah: 1993-2022) merupakan himpunan karya-karya terpilih sejak awal karier beliau sehingga kini. Perkataan ‘kembara’ ditakrifkan sebagai satu perjalanan atau atau penjelajahan dari satu titik permulaan hingga ke titik yang lain. Ia boleh merujuk kepada titik perjalanan kehidupan, pemikiran, kerjaya, pengalaman atau perjuangan. Inspirasi nama ‘kembara’ dalam pameran ini ini memaparkan tentang penjelajahan dan perjalanan seni Zainon Abdullah yang titik bermulanya 30 tahun lalu hingga kini yang memberi kesan dan perubahan dari aspek pengkaryaan, kehidupan, pemikiran dan falsafah pelukis.

Kembara Zainon Abdullah: 1993-2022 dilihat berbeza dan istimewa jika dibandingkan dengan pameran-pameran solo yang sebelumnya kerana pameran ini boleh dianggap sebagai sebuah ‘mini retrospektif’ buat pelukis yang merakamkan perjalanan seni Zainon Abdullah menerusi 44 buah karya pelbagai saiz dan dihimpunkan dalam sebuah ruang seni alternatif, Kapallorek. Kolaborasi antara pelukis dengan Kapallorek bergerak dalam sebuah objektif dan tanggungjawab yang sama iaitu demi menyokong perkembangan serta kelangsungan keilmuan seni visual dan kebudayaan menerusi aktiviti berpameran khususnya di Bandar Baru Seri Iskandar.

Budaya sering dianggap sebahagian daripada nadi kehidupan masyarakat. Karya seni pula adalah cerminan budaya itu tadi. Kronologi seni visual sejak zaman prasejarah lagi sudah memperlihatkan bagaimana karya seni mampu membentuk ketamadunan manusia, perubahan sosial, berperanan mendidik dan mempunyai kekuatan mesej serta nilai yang berimpak. Sebagai tenaga pengajar Zainon Abdullah begitu berdedikasi untuk mengembangkan proses keilmuan di daerah itu kerana beliau dilihat sebagai salah seorang pewaris atau tokoh seni yang signifikan sebagai sumber rujukan, perkongsian ilmu dan pengalaman pelukis. Disokong dengan kewujudan institusi-institusi pendidikan seperti UiTM, UTP, KPM dan sekolah-sekolah yang dikelilingi hampir 90% terdiri daripada masyarakat Melayu Tradisional tinggal di sekitar Daerah Perak Tengah.

Dari sudut apresiasi seni, karya beliau dilihat begitu menarik untuk menjemput penghayat seni menghayati dan memahami mesej yang ingin disampaikan. Pastinya penghayatan seni perlu dirancakkan lagi bagi melahirkan lebih ramai penghayat yang bijak dan kritis dalam menilai karya seni visual. Malahan wujudnya pameran ini secara tidak langsung telah mengurangkan jurang pemisah antara dunia seni visual dan masyarakat. Seperti yang dijelaskan dalam teori aesthetic distance secara formalistiknya menekankan kepentingan jarak penglihatan manusia melihat dan menghayati sesebuah karya seni dalam mendapat emosi estetika. Apresiasi terhadap karya-karya Zainon Abdullah diyakini dapat mencetus daya intelek untuk penghayat berfikir lebih jauh dan kritis.

Ulasan Karya

Zainon Abdullah terkenal dengan sikap prolifik dan konsisten menghasilkan karya. Karyanya terbentuk berasaskan aspek formalistik dan kontekstual yang melibatkan subjek, gaya, teknik dan pendekatan, serta simbol dan hubung kaitnya dengan faktor-faktor kontekstual seperti kisah hidup dan ekpresi diri terhadap isu-isu sosial, politik dan ekonomi. Hal ini menjadi inti pati Kembara Zainon Abdullah: 1993-2022 yang boleh ditelusuri garis masanya menerusi LIMA fasa penting yang bermula dengan siri Duri dan Bunga, Siri Dialog Dalaman, Siri Hijrah, Siri Puisi Alam dan siri Tari Rimba.

 

Siri Duri dan Bunga