MENELUSURI JEJAK ARTIS SERI ISKANDAR: DI SINI DAN MASA KINI

Kapallorek Artspace | September 12, 2021 | GENERAL

Click image to preview

MENELUSURI JEJAK ARTIS SERI ISKANDAR: DI SINI DAN MASA KINI

Oleh: Dr. Issarezal Ismail

Ditinjau dari perspektif kebudayaan, kesenian dikatakan hadir dalam hubungan kontekstual dengan ruang dan waktu di mana karya seni itu dihasilkan [1]. Berdasarkan perspektif atau cara pandang ini, keberadaan kesenian atau lebih tepat lagi seni visual tidak dapat dipisahkan dari aspek-aspek yang melatarbelakangi kewujudannya iaitu pelaku seni itu sendiri yakni artis, tempat dan juga zaman. Itulah intipati yang ingin dikongsikan dalam tulisan ini; suatu usaha yang cuba untuk mendekati, menelusuri sekaligus menjelaskan jejak yang ditinggalkan oleh para artis di Seri Iskandar melalui karya-karya seni visual yang mereka ciptakan dengan cara menghubungkannya dengan latar kontekstual yang terkait dengan aspek lokasi (ruang) dan zaman (waktu). Meskipun difahami bahawa dalam pembahasannya nanti, pasti di sana sini terdapat pengulangan atau bahkan tumpang tindih antara satu sama lain, sudah tentunya itu merupakan satu akibat yang tidak dapat dihindari kerana pada dasarnya hal-hal tersebut saling berkaitan dan memiliki arah dan tujuan penjelasan yang sama.

I Artis Seri Iskandar (Pelaku Seni)

Satu hal yang mungkin sahaja dapat disepakati bersama adalah fakta bahawa para artis di Seri Iskandar ini rata-ratanya dapat digolongkan sebagai ‘artis akademia’. Penggolongan ini, bagi saya tidaklah terlalu berlebihan kerana mereka ini pada umumnya merupakan tenaga pengajar atau pun pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dan memiliki taraf pendidikan yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Bahkan, sebahagian dari mereka pernah menghabiskan beberapa tahun untuk tinggal dan menetap di luar negara khususnya di negara-negara Eropah untuk menekuni disiplin keilmuan seni masing-masing seperti seni halus, seramik, fesyen, grafik dan juga fotografi.

Profil pendidikan yang dibentangkan di atas sebenarnya secara sedar mahu pun tidak memiliki implikasi atau pengaruh besar terhadap proses penciptaan serta karya-karya seni yang muncul. Jelas, dapat dilihat bahawa karya-karya mereka itu sering menunjang pada konsep dan bukan terarah pada bentuk-bentuk representasional semata-mata. Di sini, seni visual bukan lagi sebagai media langsung dari kenyataan; bukan sekadar imitasi atau peniruan dari sebuah kenyataan, melainkan sebuah dunia dengan kenyataan baharu hasil dari interpretasi atau abstraksi pemikiran dari seorang artis. Itulah sebabnya mengapa dari kepelbagaian bentuk, jenis dan gaya ungkapan yang kita lihat dari hasil karya seni visual mereka itu penggunaan simbol, alegori, metafora atau ekspresi merupakan bahasa visual yang begitu dominan sekali digunakan sebagai bahasa ungkapan dari sebuah konsep, idea atau gagasan.

Menarik juga untuk dikemukakan di sini bahawa para artis Seri Iskandari ini kebanyakannya terdiri daripada golongan dewasa yang berada dalam kelompok umur 40-an dan ke atas. Mereka ini adalah peribadi-peribadi manusia yang sudah pun melewati zaman kepayahan yang lazimnya terpaksa ditempuh oleh para artis dari golongan generasi muda. Mungkin, istilah ‘mapan’ paling sesuai untuk dilekatkan kepada kehidupan mereka saat ini. Biasanya, mereka sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang sudah meningkat remaja, memiliki rumah dan kenderaan, di samping mampu memiliki atau menyewa studio sendiri. Ringkasnya, mereka sudah tidak merasai beban kewangan untuk menampung keperluan hidup mereka sehari-hari, baik di tahap keperluan dasar, sosial mahu pun budaya.

Kemapanan hidup yang dinikmati itu sekurang-kurangnya terpantul pada apa jua hasil penciptaan yang dikerjakan oleh para artis dari generasi dewasa ini. Di sini, mereka berkarya bukan untuk memenuhi selera pasar atau kolektor tetapi lebih cenderung menampilkan apa yang menjadi minat mereka pada saat ini tanpa terlalu memikirkan implikasi modal yang harus dikeluarkan. Tanpa bebanan kewangan, karya mereka kadangkala berjaya menerobos masuk ke dalam sudut-sudut yang tidak terjangkau sebelumnya. Bagi artis mapan seperti mereka material, teknik, saiz, kuantiti dan ruang bukanlah merupakan halangan atau kekangan bahkan ditanggapi sebagai cabaran yang harus ditangani dengan pemikiran dan daya kreativiti.

Di sisi yang berseberangan pula, terdapat pula sebilangan kecil para artis Seri Iskandar ini yang merupakan kelompok generasi muda yang berusia di antara 25 hingga 40 tahun. Sosok-sosok para artis dari kalangan pemuda ini muncul dalam medan sosial seni Seri Iskandar kerana tuntutan pekerjaan sendiri atau pasangan masing-masing sebagai tenaga pengajar dan tidak kurang juga memilih untuk menetap di sini sebagai artis sepenuh masa. Mereka biasanya baharu saja masuk ke alam rumahtangga dan mempunyai anak yang masih kecil. Perjuangan mereka dalam ranah seni visual bukanlah mudah kerana harus dapat berkorban wang ringgit untuk menyewa studio atau setidak-tidaknya memperuntukkan ruang khusus di dalam rumah bagi menghasilkan karya seni. Menurut pandangan peribadi saya, fasa ini penuh cabaran dan telah dirasakan terlebih dahulu oleh para artis dari golongan dewasa yang lebih senior dari mereka.

Ada dua hal yang saya rasa dapat dikesan dari karya-karya dari para artis ini jika dihubungkan dengan aspek-aspek situasi hidup mereka sebagai golongan generasi muda di Seri Iskandar. Pertama, mereka ghairah bereksperimentasi dengan gaya ungkapan artistik dan estetik, baik disemak melalui pemakaian medium ataupun idiom meski pun tanpa mengeluarkan modal yang besar. Kuat tercium keasyikan mereka menerapkan unsur teknologi, baik dari aspek gaya persembahan atau teknik penciptaan. Selain itu, mereka tidak teragak-agak untuk mencuba pelbagai pendekatan dan aliran seni visual yang dianggap berpotensi untuk dipertontonkan kepada umum. Agaknya, usaha-usaha mereka ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai suatu cara atau strategi yang digunakan untuk menemukan identiti berkesenian yang sememangnya diketahui semakin lama semakin rumit untuk diperolehi dan sekaligus meneguhkan posisi masing-masing di dalam wilayah seni visual kontemporari saat ini.

Kemudian, aspek lain yang difikirkan layak untuk dibincangkan di sini adalah terkait dengan latar belakang kesenian dari para artis Seri Iskandar yang sungguh beragam sekali. Sudah pasti, majoriti daripada mereka berasal dari bidang seni halus sejak dari dahulu lagi sehingga beberapa di antara mereka merupakan antara pemain utama bagi perkembangan seni visual kontemporari saat ini seperti Noor Azizan Rahman Paiman, Mohd Daud Abd Rahim, Aznan Omar dan Hamidi Abdul Hadi (sekadar menyebut beberapa nama). Manakala, selebihnya adalah mereka-mereka yang datangnya dari disiplin kesenian yang berbeza sama sekali tetapi dalam masa yang sama memiliki minat yang mendalam dalam penciptaan karya seni visual. Disiplin atau bidang mereka itu adalah seperti fesyen atau tekstil, seramik, grafik dan juga fotografi.

Keberagaman disiplin kesenian itu mahu tidak mahu memberi dampak terhadap wujud karya seni dari mereka. Bagi artis yang berasal dari bidang seni halus, dapat dilihat bahawa orientasi berkesenian mereka lebih terfokus kepada bagaimana memperluaskan lagi gagasan-gagasan konseptual baharu yang belum diterokai oleh mereka sebelum ini; atau setidak-tidaknya melihat kembali kemungkinan-kemungkinan lama yang mungkin sahaja belum sempat betul-betul mereka dalami secara tuntas. Sedangkan, bagi yang berasal dari bidang yang lain pula, saya fikir orientasi berkesenian mereka lebih menjurus kepada bagaimana untuk mencairkan batas-batas yang ada di dalam seni visual melalui pendekatan yang bersifat integratif sehingga memunculkan banyak bentuk-bentuk baharu yang tidak lazim misalnya pendekatan seni fesyen di dalam seni instalasi; seni seramik dengan seni arca, seni kaca dengan seni arca; seni fabrik dengan seni catan dan lain-lain lagi.

Aspek penting lainnya yang dapat dibahas di sini adalah berkaitan dengan budaya yang menurut saya berkaitan dengan sistem nilai dan keyakinan. Hasil pengamatan saya sejak berada di sini, rata-rata hampir kesemua artis Seri Iskandar ini merupakan individu-individu yang hidup berpandukan sistem nilai masyarakat Melayu di mana gotong-royong, bersedekah, hormat-menghormati, menghargai tradisi bukanlah suatu hal yang asing atau aneh untuk dipraktikkan. Hal-hal yang positif dan penuh kebaikan ini banyak dipengaruhi oleh arah dari kompas moral mereka yang berpandu kepada ajaran Islam yang kuat dan mereka sendiri pun sebenarnya rata-rata merupakan penganut yang patuh terhadap ajaran agama Islam.

Nilai budaya dan nilai moral yang mengatur kehidupan para artis Seri Iskandar ini secara sedar mahu pun tidak dapat dipadankan dengan karya-karya seni mereka yang menurut saya dapat dikatakan bebas tapi bertanggungjawab. Dalam konteks ini, kebebasan yang dimaksudkan bukanlah kebebasan yang tidak terkawal melainkan dikendalikan dengan penuh perhatian. Di sini, daya imaginasi mereka bukanlah terbenam atau terhalang, melainkan masih berada di dalam lingkaran batas-batas yang dibenarkan oleh budaya dan agama. Bagi saya, ini bukanlah merupakan kekurangan meskipun situasi seni visual kontemporari masa kini penuh dengan kejutan dan kenakalan tetapi saya melihatnya sebagai satu keunikan dari pola berfikir dan pola bersikap dari para artis Seri Iskandar.

II Kawasan Seri Iskandar (Ruang)

Cuaca panas, bekas lombong bijih, belukar, jalan raya tidak sesak, kehidupan santai, restoran nasi kandar atau mamak dan universiti merupakan ciri khas yang terdapat di daerah Seri Iskandar. Oleh sebab ciri-ciri dari latar muka bumi, persekitaran dan juga cuacanya yang agak mencabar, keberadaan universiti iaitu Universiti Teknologi MARA dan Universiti Petronas betul-betul memberikan corak terhadap perkembangan pembangunan sekaligus sosio-ekonomi masyarakatnya. Banyak kawasan baharu telah dibuka bagi pelbagai tujuan sama ada perumahan atau pun perniagaan semata-mata untuk menampung keperluan dan juga gaya hidup masyarakatnya yang semakin kompleks dari waktu ke waktu walaupun gerak kemajuan infrastrukturnya tentu sahaja tidak sebanding dengan bandar-bandar besar lainnya di seluruh Malaysia.

Dari konteks kesenian, lokasi Seri Iskandar dapat dikatakan berada pada kedudukan strategik dalam peta seni visual di negara ini. Ini kerana ia berada di tengah-tengah antara dua lokasi utama iaitu Kuala Lumpur di sebelah selatan dan Pulau Pinang di sebelah utara. Kelebihan yang disebutkan itu menjadikannya sebuah destinasi atau lokasi yang mampu berfungsi sebagai tempat persinggahan bagi para peminat seni visual atau kolektor yang melakukan perjalanan dari arah utara ke selatan atau sebaliknya. Bahkan, bagi artis di Seri Iskandar, ia dapat dilihat sebagai suatu yang menguntungkan ketika mereka ingin melakukan perjalanan atau berpergian, sama ada untuk tujuan berpameran atau tujuan-tujuan lain misalnya mendapatkan bahan atau peralatan bagi menghasilkan karya atau menghadiri acara atau majlis tertentu.

Di sebalik kedudukan lokasinya itu, Seri Iskandar pada umumnya dijadikan ruang atau wadah untuk menampung aktiviti penciptaan karya seni bagi sebilangan besar artisnya. Ada sebahagian dari mereka lebih selesa berkarya di dalam rumah atau ruang di sekitarnya dan ada pula yang berkomitmen dengan membina atau menyewa studio yang terpisah jauh dari rumah masing-masing. Alasannya pula berbeza-beza. Bagi yang memilih untuk berkarya di dalam rumah atau kawasan sekitarnya, mereka beralasan bahawa berkarya di dalam ruang seperti itu memudahkan mereka untuk bersama keluarga dan boleh berkarya pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu membuang waktu untuk ke tempat lain. Sedangkan, bagi yang berkarya jauh dari kediaman, kaedah tersebut dikatakan menjadi cara untuk mendapatkan fokus dalam aktiviti pengkaryaan selain dari menjadikan mereka lebih berdisiplin dalam menghasilkan karya seni secara konsisten. Apa pun alasannya, saya fikir apa yang paling penting adalah setiap artis berkarya di dalam ruang yang mereka rasakan paling kondusif sekaligus efektif untuk menyalurkan gagasan masing-masing.

Keuntungan yang diperolehi ketika berkarya di suatu lokasi yang sama dan berdekatan antara satu sama lain adalah saling terjadinya kontak atau hubungan sosial antara sesama mereka, baik yang dilakukan secara formal mahu pun informal. Secara formal, mereka saling bertemu di dalam ruang di mana mereka bekerja, acara perasmian pameran, sembang seni dan juga majlis rasmi lainnya. Sedangkan, secara informal mereka sering bersembang di kedai kopi, lawatan di bengkel atau studio dan juga berbual santai di dalam ruang maya melalui aplikasi media sosial. Itulah gambaran dari karakter atau sifat medan sosial seni di Seri Iskandar yang dibungkus oleh sikap ramah-tamah, tegur-menegur, berbincang-bincang tentang seni, berdiskusi atau bahkan sesekali diselangi dengan gurau senda atau menoleh sebentar ke masa lalu.

Medan sosial seni yang subur ini dilihat menjadi cerminan terhadap kekuatan ikatan sosial di kalangan para artisnya yang terkesan relatif kuat dan pada masa yang sama dapat meminimumkan wujudnya konflik dan ketegangan di antara mereka. Di sisi lain, kelebihan dari medan sosial seni yang cenderung aktif ini seringkali digunakan sebagai gelanggang buat mereka yang terlibat atau ikut serta di dalamnya bagi sama-sama mematangkan diri masing-masing khususnya dalam bidang seni visual; baik dari aspek penciptaan atau teknikal pengkaryaan, kajian atau penyelidikan. Perdebatan, perkongsian, pandangan atau pun pendapat adakalanya saling silang-menyilang atau bahkan sesekali bertembung; bukan untuk menjatuhkan atau melemahkan tetapi ditujukan untuk perbaikan dan pemantapan fikiran (gagasan), teknik (kemahiran) dan juga bentuk (karya) itu sendiri.

Di samping itu, kawasan Seri Iskandar yang memiliki latar persekitaran serta budayanya yang beragam telah dimanfaatkan oleh para artis sebagai ruang insipirasi bagi merangsang idea penciptaan bagi karya-karya seni mereka. Sebut sahaja misalnya tasik lombong yang terbiar, rimbunan pohon-pohon atau semak samun, bukit pasir, anak sungai, rumah tradisional, sejarah kawasan atau daerah, makanan tempatan, budaya popular, buah-buahan serta haiwan kesemuanya memiliki potensi untuk merangsang perasaan dan juga pemikiran artis-artis melalui pelbagai sudut pandangannya masing-masing; entah itu dilihat dari sudut sejarah tempat dan kearifan lokal masyarakat masa lalu, keunikan bentuk-bentuk ekspresi dari tradisi budaya tempatan, kekayaan alam semulajadi, hubungan manusia sesama manusia, hubungan manusia dengan unsur spiritual dan lain-lain lagi.

Pemanfaatan sumber lingkungan alam sekitar dan budaya ini justeru dapat disemak pada karya-karya seni mereka yang beraneka ragam bentuk dan jenisnya itu. Melalui daya ungkapan estetik masing-masing, muncul karya-karya misalnya yang cuba merefleksikan keindahan alam dan nostalgia warisan budaya yang adakalanya dipindahkan secara langsung mahu pun yang telah disaring kembali sekaligus diabstraksikan dari esensi atau intipati rujukan dari kenyataannya. Sebaliknya, ada yang cuba menggembur-gembur kembali sejarah yang sudah lama terbenam atau cuba bereaksi terhadap gejala atau fenomena sosial yang sedang terpampang di hadapan muka melalui pemakaian simbol-simbol universal, komunal mahupun individual.

Kemudian, lokasi Seri Iskandar yang sememangnya relatif jauh dari pusat tumpuan seni visual di negara ini memungkinnya untuk menjadi wadah alternatif bagi menampung sejumlah kegiatan dan hasil kegiatan yang terkait dengan bidang ini. Memang, rata-rata orang di sini percaya bahawa Seri Iskandar mampu menjadi hub seni visual di negeri Perak selain dari bandaraya Ipoh yang sememangnya sudah dan sedang mengambil peranan dan memainkan fungsinya sebagai penggerak utama. Alasannya, tidak lain tidak bukan adalah keberadaan jumlah penggiat seni visual itu sendiri yang semakin hari semakin bertambah dan juga adakalanya silih berganti dengan hadirnya muka-muka baharu khususnya buat mereka yang berhijrah atas tuntutan pendidikan, pekerjaan mahu pun minat.

Secara langsung, lokasi Seri Iskandar sebagai wadah alternatif ini tampak melalui munculnya karya-karya seni awam yang dipertontonkan kepada masyarakat secara terbuka melalui ekspresi seni arca, graffiti dan juga mural yang diletakkan atau dilukiskan di kawasan lapangan terbuka atau pun di dinding-dinding bangunan komersial. Kawasan Seri Iskandar yang dahulunya begitu asing dengan dunia kesenian akhirnya mula memperlihatkan adanya hasil sentuhan kreatif sehingga berupaya menemukan karakternya sendiri. Secara tidak langsung, kawasan Seri Iskandar mula menjadi wadah bagi banyak acara atau kegiatan kesenian lain misalnya sebagai lokasi pameran seni visual di bawah kendalian Kapallorek Artspace iaitu sebuah ruang alternatif bagi pengkarya-pengkarya muda yang menekuni disiplin seni visual khususnya seni Media Baru.

III MASA KINI (WAKTU)

2020 merupakan angka yang sangat dekat dengan pemikiran masyarakat Malaysia kerana sejak dari dahulu lagi sebahagian besar dari kita dibesarkan dengan angka tersebut yang merujuk kepada suatu visi dari pemerintah pada dekad 1990-an yang mengimpikan suatu keadaan di mana masyarakat dan kebudayaannya sudah mencapai suatu tingkat atau taraf yang dikatakan maju dari segala aspek kehidupannya. Bahkan, jauh sebelum itu iaitu pada dekad 1980-an lagi sudah ada bayangan tentang kehidupan pada dekad ini yang dirumuskan ke dalam bentuk rancangan televisyen yang menayangkan tentang kecanggihan teknologi dan inovasi pada masa hadapan. Ringkasnya, pada waktu itu tahun 2020 dianggap sebagai kurun waktu yang menjadi penanda aras penting bagi kehidupan berbangsa dan bernegara bagi kita semua.

Sudah pasti, kefahaman terhadap konteks waktu (masa kini atau kekinian) dapat difahami dari pelbagai sudut pandang bergantung kepada cara kita menanggapinya. Pada dasarnya, kekinian merujuk kepada suatu keadaan mutakhir. Melalui perspektif budaya yang lebih luas, keadaan mutakhir ini seringkali dihubungkan dengan kecanggihan teknologi yang dimiliki atau digunakan oleh manusia, baik sebagai perangkat atau alat atau sebagai medium atau bahan [2]. Sebagai medium atau bahan tampak, bahawa karya-karya seni visual berbasis teknologi yang dihasilkan oleh artis Seri Iskandar; entah itu teknologi mekanikal, elektronik atau digital telah melahirkan pelbagai bentuk, jenis dan gaya ungkapan estetik yang segar dan baharu. Kesegaran dan kebaharuan ini kerap kali ditampilkan melalui persembahan, dimensi dan juga representasinya. Itulah potensi dan juga akibat apabila seni khususnya seni visual digandingkan dengan teknologi, ketika ia mampu setidak-tidaknya menghadirkan sekelumit pembaharuan dalam hakikat wujud dan bentuknya.

Di samping itu juga, teknologi juga digunakan sebagai alat dalam proses penciptaan karya seni visual itu sendiri, tidak kira sama ada sebagai alat bantu untuk mempermudah cara atau kerja. Paling tidak, teknologi mesin sudah menjadi teman pendamping setia bagi para artis Seri Iskandar yang menciptakan karya dalam bentuk tiga dimensi. Dalam konteks seni visual, tampak jelas sumbangan utama dari teknologi khususnya teknologi mesin itu sendiri ketika ia bukan sahaja berhasil memperpanjangkan fungsi tubuh manusia dalam serba keterbatasan kudratnya tetapi juga cenderung untuk menjimatkan waktu dan tenaga manusia [3]. Manakala, penggunaan teknologi elektronik dan digital sebagai alat pula membuka peluang pada artis Seri Iskandar untuk meneroka kemungkinan-kemungkinan ekspresi estetik yang tidak terduga atau tidak terjangkau sebelumnya.

Kemudian, nuansa mutakhir itu dapat disejajarkan dengan aspek sezaman atau kontemporari yang pada umumnya merujuk kepada produk (baca: karya seni visual) yang terhasil dari pertembungan antara masa lalu dan masa kini; suatu konfrontasi dengan segala peristiwa, fenomena atau gejala yang terjadi di dalam bidang ekonomi, teknologi, masyarakat dan kebudayaan sehingga kesemuanya saling berinteraksi secara timbal-balik di antara satu dengan lainnya [4]. Pernyataan tersebut sekurang-kurangnya memberi gambaran tentang hakikat seni visual kontemporari yang memiliki dua sisi yang berbeza. Di satu sisi, ia tidak memiliki bentuk atau ciri yang khas dan menetap sehinggakan pertembungan dengan masa lalu itu boleh sahaja mengundang pelbagai reaksi dari para artis seperti perluasan, pendalaman, penolakan, pembaharuan, peminjaman atau bahkan penafsiran ulang.

Pelbagai reaksi tersebut dapat disemak pada karya-karya yang diciptakan oleh artis-artis Seri Iskandar misalnya ketika ada upaya bagi perluasan dan pendalaman gaya-gaya dari aliran seni moden khususnya abstrak dan abstrak eskpresionisme yang kembali mendapat tempat dan sorotan dalam radar seni visual tempatan pada ketika ini. Selain itu, tampak juga reaksi berupa penolakan dan pembaharuan yang pada umumnya cenderung mengedepankan eksperimentasi dan eksplorasi medium atau bahan yang ditujukan untuk mencari terobosan-terobosan baharu dari aspek teknik, bentuk mahupun gaya persembahan seperti yang telah dibincangkan sebelumnya. Manakala, reaksi peminjaman dan penafsiran ulang pula cenderung mempertanyakan, membongkar, membandingkan dan mengangkat kembali unsur-unsur dari warisan, mitos, sejarah serta budaya popular dalam pelbagai hubungan kontekstualnya masing-masing.

Di sisi lain, seni visual kontemporari membuka peluang seluas-luasnya bagi para artis untuk merefleksikan kembali isu, persoalan, kenyataan atau permasalahan kemanusiaan, masyarakat dan juga kebudayaan. Dalam konteks ini, kelahiran sebuah karya seni visual kontemporari seringkali juga dimotivasikan dari pelbagai peristiwa, kejadian, pengalaman, impian, cita-cita dan juga harapan dari peribadi seorang artis di dalam lingkungan persekitarannya. Ini memandangkan hakikat kewujudan karya seni visual itu sendiri yang tidak pernah muncul dari dalam ruang vakum, sebaliknya sangat dipengaruhi oleh pelbagai latar sosial-budaya yang begitu beragam sehingga dapat pula merangsang pelbagai gagasan atau tema penciptaan.

Pada umumnya, kecenderungan tema pada karya-karya seni visual kontemporari oleh para artis Seri Iskandar dapat dikategorikan ke dalam dua kubu utama yang saling berseberangan. Kubu pertama berisikan karya-karya yang mendukung tema personal di mana ianya banyak diinspirasikan dari himbauan dan nostalgia pengalaman kehidupan peribadi masa lalu, penghargaan dan keterpersonaan dengan alam dan budaya, keintiman hubungan batin manusia dengan unsur spiritual dan lain sebagainya. Sedangkan, di kubu kedua berisikan karya-karya yang membawa tema sosial yang sarat dengan muatan kritikan yang lantang berkomentar terhadap segala sesuatu yang terkait dengan penyimpangan, konflik, perlawanan atau cabaran sosial-budaya-politik sezaman, baik di peringkat lokal, serantau mahupun global.

Begitulah serba sedikit yang dapat dikongsikan berkenaan dengan jejak seni para artis di Seri Iskandar. Keberadaan mereka di dalam ranah seni visual di Malaysia sudah tentu dirasakan khususnya sejak awal dekad 2000-an dan eksistensi mereka tetap kukuh dan bertahan sehingga ke hari ini. Dalam rentang sejarahnya yang relatif singkat itu, mereka-mereka yang dapat disebut sebagai para pelopor seni visual kontemporari di daerah ini masih lagi aktif berkarya, terlepas sama ada sedang menikmati lampu sorot dalam pentas nasional mahu pun antarabangsa atau pun masih terus-menerus memperjuangkan apa yang menjadi bidang yang mereka minat saat ini. Semoga sahaja usaha para artis Seri Iskandar selama ini akan dapat memberikan manfaat dan sumbangannya kepada perkembangan dan perjalanan sejarah seni visual di Malaysia di masa ini dan masa hadapan.

Rujukan

[1] A.I. Saidi. Narasi Simbolik Seni Rupa Kontemporer Indonesia, Isaacbook, 2008.

[2] T. R. Rohidi. Kesenian dalam Pendekatan Kebudayaan, STISI Press, 2000.

[3] C.A. van Peursen. Strategi Kebudayaan, Penerbit Kanisius, 1988.

[4] C. Turner. Art and Social Change, Pandanus Books, 2005.

Search in Kapallorek